Saturday, October 8, 2011

Keputusan peperiksaan


Terpahat di minda dan hampir menganggu tumpuanku pabila terkenangkan tentang perbualan antara guru kelasku kepada ibuku. Pertemuan ibubapa sempena mengambil kad rekod keputusanku diambil kesempatan oleh ibuku untuk berjumpa dan tertanyakan tentang pelajaranku di sekolah. Oh ya! Lupa diterangkan kepada pembaca. Ibuku seorang guru di sekolah yang sama semasa di sekolah rendah. Ibuku seorang yang sangat tegas. Lebih tepat lagi sangat garang kepada anak-anak. Kenangan terpaksa bermalam di bilik belakang rumah sambil menghafal sifir, itulah dendaku yang paling berat. Kenangan itu takkan ku lupa sehingga kini.

“Dia ni ada potensi, kak. Tapi, tahun ni bukan rezeki dia untuk jadi yang terbaik. Saya terpaksa melihat yang lebih berkualiti dari segi peratusan keseluruhan” kata guru ku di awal pertemuan.
“Tak apa lah.... biar dia tersedar sikit tentang kebesaranNya.... tiada siapa boleh lawan ketentuanNya” respon ibuku sambil menjeling tajam ke arah ku
“Siti, nanti cuba lagi... kata nak jadi doktor kan....” pujuk guruku
Aku hanya dapat menganggukkan kepala tapi diam membisu tidak terkata dek jelingan tajam ibuku. Hebat jelingan itu menandakan bersedia untuk didenda di bilik belakang lagi.

Pertemuan tersebut bermula dengan keputusan peperiksaan ku bagi matapelajaran Matematik. Markah penuh dan sebagai pelajar terbaik bagi matapelajaran ku pada setiap tahun telah disambar orang lain. Tahun itu, orang lain yang naik ke pentas mengambil hadiah dan aku menjadi penontonnya. Runtun hati, menangis kalbu bila melihat seharusnya aku yang naik ke atas pentas itu mengambil hadiah yang lazimnya untukku.

Friday, October 7, 2011

Pagi itu


Hening dan suram pagi itu. Deringan jam loceng mengejut ku. Jarum panjang ke arah dua belas manakala jarum pendek ke arah empat. Istighfar tiga kali menandakan kejutan dari tiduran. Alhamdulillah berlabuh di hati tanda kesyukuran kerana sedar dari matlamat utama.

Mula berkira-kira untuk berwuduk. Takbir dilafaz seiring niat yang mulus. Tujuan moga diberi petunjuk agar dapat menentukan masa depan yang diberkati. Pilihan yang diredhai paling diimpi. Berdiri dan sujud dengan takjub di atas kebesarannya. Buntu membuat keputusan latas lafaz doa dipanjatkan.......

“Ya Allah, sesungguhnya aku minta petunjuk yang baik dari-Mu, dengan ilmu-Mu, aku minta kekuatan dari-Mu dengan kekuatan-Mu. Aku meminta dari-Mu dari kelebihan-Mu yang banyak, maka sesungguhnya Engkau berkuasa, aku tidak berkuasa, Engkau mengetahui dan Engkaulah yang paling mengetahui bahawa perkara-perkara ghaib. Ya Allah, jika kamu mengetahui bahawa perkara ini baik untukku pada agamaku, duniaku dan kesudahan urusanku buat masa ini dan masa akan datang, maka tentukannya untukku dan permudahkannya kepadaku, jika Kamu mengetahui bahawa perkara ini tidak baik untukku pada agamaku dan duniaku dan kesudahan urusanku baut masa ini dan masa akan datang, maka elakkannya dariku dan elakkan diriku daripadanya, tentukanlah kebaikkan untukku di mana sahaja aku berada. Sesungguhnya Engkau berkuasa di atas segala sesuatu.”

Wednesday, October 5, 2011

Penyerahan kepadaNya


Ku berpegang kepada Hadith Rasulullah yang bermaksud, “Di antara kebahagian anak Adam ialah solat istikharah (minta pilih) daripada Allah Ta’ala dalam segala urusannya; dan di antaranya kecelakaan anak Adam ialah meninggalkan solat istikharah daripada Allah pada segala urusannya”.

Betulkah pilihan masa depanku adalah seorang doktor? Dari mana kekuatanku tatkala setiap kali ditanya berkaitan cita-cita, akan ku jawab dengan pantas iaitu “Doktor”. Sehubungan itu, kedua tapak tanganku menghadap ke langit, menadah kiranya diturunkan hidayah dan petunjuk tentang pilihan masa depan. Menangguk harapan agar mampu diberikan kekuatan buat diri ku untuk berbakti kepada bukan sahaja bangsa dan negara tetapi juga buat agama tercinta. Amin....

Tuesday, October 4, 2011

Bukan senang untuk mejadi orang senang

"Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan sudah sedia ada dalam kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya. Sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah". Surah Al-Hadid, ayat 22.

Sabar menghadapi dugaan kerjaya memang memerlukan kekuatan mental yang tinggi. Sedar bahawa diri seorang yang kerdil di sisiNya membuatkan diriku amat mendambakan ilmu. Bukan sahaja ilmu pergigian yang sedang dipraktikkan ketika ini. Malah, pelbagai lagi yang perlu diterokai dan diperhalusi. Ilmu sebagai seorang pemimpin. Ilmu sebagai seorang pekerja. Malahan, ilmu sebagai seorang yang cuba untuk taat dan sujud di atas keredhaanNYA. Bukan senang untuk menjadi orang senang.

Mulakan dengan Bismillah


Mulakan dengan Bismillah, setiap pekerjaan haruslah bermula Dengan Nama Allah. Itu perbezaan utama antara kerja dan kerjaya. Tanpa Bismillah, setiap kerja yang dilakukan tidak beroleh berkat. 

Pengalaman lucu ketika saya melafazkan Bismillah ketika mula meletakkan alat penskaleran ke dalam mulut pesakit untuk rawatan ‘cuci gigi’ (penskaleran). 

Pesakit saya terus melompat dari tempat duduknya di kerusi pergigian dan berkata, “Jangan baca doa selamat di sini. Saya hanya mahu doktor buat rawatan kepada saya. Nanti saya lambat balik sebab tunggu doktor baca doa selamat”. 

Saya menjadi gelak mendengar kata-kata pesakit tersebut. “Memang betul, saya baca doa. Tetapi tuan, saya cuma baca perkataan yang bermaksud Dengan Nama Allah iaitu Tuhan Seluruh Alam. Bukan untuk baca doa selamat yang panjang. Lepas baca, saya mulakan rawatan kepada tuan.” 

Alhamdulillah pesakit saya mula memahami cara kerja saya dan meminta saya meneruskan prosedur rawatan. Apabila selesai rawatan yang diberikan, pesakit tersebut berkata lagi sebelum pulang, “Syokla doktor.... tak sakit pun.... saya ingat ‘cuci gigi’ sakit. Rupa-rupanya tak sakit. Saya rasa doktor punya doa sudah makbul la.... nanti saya kasi tahu orang lain yang doktor ada baca doa supaya masa rawatan tak sakit”. 

Itulah kerjaya saya sebagai seorang doktor gigi yang kerdil di sisi Allah. Syukur saya kerana dipermudahkan urusan saya dengan pesakit ini. Baru saya faham saya membuat kerja kerana ianya adalah kerjaya saya jika saya menyerahkan segalanya kepada Allah dan memulakan pekerjaan dengan Bismillah