Tuesday, October 4, 2011

Mulakan dengan Bismillah


Mulakan dengan Bismillah, setiap pekerjaan haruslah bermula Dengan Nama Allah. Itu perbezaan utama antara kerja dan kerjaya. Tanpa Bismillah, setiap kerja yang dilakukan tidak beroleh berkat. 

Pengalaman lucu ketika saya melafazkan Bismillah ketika mula meletakkan alat penskaleran ke dalam mulut pesakit untuk rawatan ‘cuci gigi’ (penskaleran). 

Pesakit saya terus melompat dari tempat duduknya di kerusi pergigian dan berkata, “Jangan baca doa selamat di sini. Saya hanya mahu doktor buat rawatan kepada saya. Nanti saya lambat balik sebab tunggu doktor baca doa selamat”. 

Saya menjadi gelak mendengar kata-kata pesakit tersebut. “Memang betul, saya baca doa. Tetapi tuan, saya cuma baca perkataan yang bermaksud Dengan Nama Allah iaitu Tuhan Seluruh Alam. Bukan untuk baca doa selamat yang panjang. Lepas baca, saya mulakan rawatan kepada tuan.” 

Alhamdulillah pesakit saya mula memahami cara kerja saya dan meminta saya meneruskan prosedur rawatan. Apabila selesai rawatan yang diberikan, pesakit tersebut berkata lagi sebelum pulang, “Syokla doktor.... tak sakit pun.... saya ingat ‘cuci gigi’ sakit. Rupa-rupanya tak sakit. Saya rasa doktor punya doa sudah makbul la.... nanti saya kasi tahu orang lain yang doktor ada baca doa supaya masa rawatan tak sakit”. 

Itulah kerjaya saya sebagai seorang doktor gigi yang kerdil di sisi Allah. Syukur saya kerana dipermudahkan urusan saya dengan pesakit ini. Baru saya faham saya membuat kerja kerana ianya adalah kerjaya saya jika saya menyerahkan segalanya kepada Allah dan memulakan pekerjaan dengan Bismillah

No comments:

Post a Comment