Saturday, October 8, 2011

Keputusan peperiksaan


Terpahat di minda dan hampir menganggu tumpuanku pabila terkenangkan tentang perbualan antara guru kelasku kepada ibuku. Pertemuan ibubapa sempena mengambil kad rekod keputusanku diambil kesempatan oleh ibuku untuk berjumpa dan tertanyakan tentang pelajaranku di sekolah. Oh ya! Lupa diterangkan kepada pembaca. Ibuku seorang guru di sekolah yang sama semasa di sekolah rendah. Ibuku seorang yang sangat tegas. Lebih tepat lagi sangat garang kepada anak-anak. Kenangan terpaksa bermalam di bilik belakang rumah sambil menghafal sifir, itulah dendaku yang paling berat. Kenangan itu takkan ku lupa sehingga kini.

“Dia ni ada potensi, kak. Tapi, tahun ni bukan rezeki dia untuk jadi yang terbaik. Saya terpaksa melihat yang lebih berkualiti dari segi peratusan keseluruhan” kata guru ku di awal pertemuan.
“Tak apa lah.... biar dia tersedar sikit tentang kebesaranNya.... tiada siapa boleh lawan ketentuanNya” respon ibuku sambil menjeling tajam ke arah ku
“Siti, nanti cuba lagi... kata nak jadi doktor kan....” pujuk guruku
Aku hanya dapat menganggukkan kepala tapi diam membisu tidak terkata dek jelingan tajam ibuku. Hebat jelingan itu menandakan bersedia untuk didenda di bilik belakang lagi.

Pertemuan tersebut bermula dengan keputusan peperiksaan ku bagi matapelajaran Matematik. Markah penuh dan sebagai pelajar terbaik bagi matapelajaran ku pada setiap tahun telah disambar orang lain. Tahun itu, orang lain yang naik ke pentas mengambil hadiah dan aku menjadi penontonnya. Runtun hati, menangis kalbu bila melihat seharusnya aku yang naik ke atas pentas itu mengambil hadiah yang lazimnya untukku.

No comments:

Post a Comment